Sunday, 5 June 2011

Wednesday, 16 January 2008

Pantun Pusaka

Pantun Martabat Tujuh


Belian Tanjung berliku,
Tempat rahsia segala wali;
Janji tuan tidak begitu,
Kata tak boleh mendua kali.

Sebarang tak boleh dicampur orang,
Hikmahnya kuat terlalu garang;
Jika salah anak dibuang,
Tidak boleh menanggung sayang.

Jika tak terbawa pasal begitu,
Tidaklah boleh duduk di situ;
Menghukum diri sebilang waktu,
Sekian bapa menjadi satu.

Hai sekian anak cucu dalam rumah,
Memegang pantang jangan berubah;
Jika tak dicuci tanah rumah,
Martabat tinggi jadi rendah.

Jangan takut kita berbuat,
Kepada datuk minta rahmat;
Apa yang dibuat baiklah ingat,
Supaya kita boleh selamat.

Inilah hukum datuk yang tentu,
Jika hendak duduk di situ;
Betulkan dirimu tingkah dan laku,
Tanjung belian tempatnya itu.

Jangan takut menghukumkan diri,
Siang dan malam petang dan pagi;
Sama serumah bersuci hati,
Akhirnya kelak mendapat bagi.

Jangan jemu meminta faham,
Hilangkan olehmu syak,zan dan waham;
Bernazarlah pula niat di dalam,
Allah membantu kepada ilham.

Cucikan hati seperti kapas,
Sekian perbuatan handaklah ikhlas;
Jangan syak,jangan was-was,
Kelak kamu mendapat balas.


Tuhan tidak mungkir janji,
Yang diamanah oalehnya wali;
Jika sungguh di dalam hati,
Allah membantu kepada wali.

Jika sungguh hendak mengikut,
Penat dan sakit jangan takut;
Sekelian yang datang jangan terkejut,
Di dalam hati janganlah kusut.

Terangkan akal seperti matahari,
Empat penjuru alam mahu dijejaki;
Suluhkan kepada alam sendiri,
Supaya terang memikirkan diri.

Hai sekalian anak muridku,
Betulkan olehmu tingkah dan laku;
Sekalian perkataan hendaklah satu,
Ingatkan kesalahan dirimu itu.

Hai muridku yang setia,
Ingatkan diri janganlah lupa;
Melupakan kepada ibu dan bapa,
Sebab ia maka kau ada.

La ilaha illa_Allahu,
Ketahuilah asalmu itu;
Adanya aku kerananya ibu,
Pandainya aku kerana guru.

Guru itu dibuat haluan,
Kerana ia gantinya tuhan;
Hendaklah kita mahu bersopan,
Mahu tertib sekelian perbuatan.

Inilah amanah daripada nabi,
Sekelian Islam merendah diri;
Jangan jemu mengkukumkan diri,
Siang dan malam petang dan pagi.

Jika sungguh anakku terbilang,
Telinganya nipis matanya terang;
Mulut pitis menegur orang,
Mukanya manis seperti bunga yang kembang.

Itulah nyata anak berbangsa,
Mukanya manis tegur dan sapa;
Tiada jemu berbudi bahasa,
Serta pandai menimbang rasa.

Jika hendak mencari sahabat,
Cari olehmu sama sedarjat;
Tiada jemu ia miafakat,
Barang yang renggang jadi rapat.

Allahumma shalli ‘ala Muhammad,
Dengarlah segala umat Muhammad;
Hidupnya kita baiklah ingat,
Supaya boleh menagging selamat.

Ingatkan asal mula menjadi,
Seperti ibu bapa sendiri;
Kerana ia wakilnya nabi,
Ketahuilah olehmu benih menjadi.

Cinta rasa namanya benih,
Cahanya itu amat jernih;
Diibarat burung cenderawasih,
Kepada sangkar amatlah kasih.

Badan itu laksana sarung,
Nyawa itu laksana burung;
Akal itu laksana lorong,
Hati laksana kampung.

Akal itu laksana matahari,
Empat penjuru alam semuanya dijajahi;
Suluhkan kepada ilmu sendiri,
Supaya terang memikirkan diri.

Jika hendak mencari kawan,
Carilah akal yang setiawan;
Tengok kepada tingkah kelakuan,
Ianya malu segala kawan.

Apabila ada fi’il begitu,
Buatlah sahabat orang itu;
Sekelian perbuatan hendaklah tentu,
Tidak sekali mencari malu.


Itu tak boleh menaggung rahsia,
Ia tak mahu nama yang cela;
Sekelian perbuatan terlalu mulia,
Ia hormat sekelian yang berenyawa.

Itulah orang yang bestari,
Ia tak jemu memikirkan diri;
Tegur dan ajar sehari-hari,
Siang dan malam, petang dan pagi.

Memikirkan diri tiadalah lupa,
Mukanya manis tegur dan sapa;
Malu sekelian adik dan kakak,
Hormat sekelian ibu dan bapak.

Akar kamat akar tempa,
Akar kamat di muka pintu;
Tetekala masa Adam bertempa,
Di mana Muhammad waktu itu.

Akar kamat akar tempa,
Akar kamat di bulan-bulan;
Tetekala masa Adam bertempa,
Muhammad di dalam rahsia Tuhan.

Bunga puan dalam perahu,
Mari di karang di hujung gemalah;
Kalau tuan mahu tahu,
Muhammad itu rahsia Allah.

Mari di karang di hujung gemalah,
Menjadikan alam suatu mastika;
Muhammad itu rahsia Allah,
Menjadi nyawa kepada kita.

Anak itik anaknya ayam,
Terbang menyusur langit-langit;
Halusnya seperti biji bayam,
Dialah mengandungi bumi dan langit.

Anak itik anaknya angsa,
Bawa belayar kenegeri Jawa;
Cari olehmu tempatnya rasa,
Di situlah alam kalimah nyawa.


Orang Jawa belayar ke Jawa,
Bawa sepasang burung merpati;
Barangsiapa dapat mengenal nyawa,
Dunia akhirat tiadalah mati.

Mari ditebang pokok intan,
Tebanglah dengan jangkar-jangkarnya;
Terbang burungnya ke tepian,
Tebanglah dengan sangkar-sangkarnya.

Ribu-ribu pagas di dulang,
Ke ruang-ruang merah matanya;
Dalam seribu payah seorang,
Sarung berbalik masuk matanya.

Turut paku patahlah paku,
Pakunya ada di tanah seberang;
Turut aku carilah aku,
Aku terlindung di tempat terang.

Teluk pandan tanjungnya paku,
Buah pedada masak dikubang;
Siksalah badan mencari aku,
Aku laksana kilat dan bayang.

Selasih paku dapat dijangkau,
Pepeti ke tapak dibuat kerai;
Kasihnya aku kepada engkau,
Setapak haram tidak bercerai.

Pepeti ke tapak dibuat kerai,
Mari dibuat dinding perigi;
Carilah jalan jangan bercerai,
Kunci Ali semula jadi.

Mari dibuat dinding perigi;
Anak raja turunnya mandi;
Kunci Ali semula jadi,
Itulah jalan melepaskan diri.

Ikan ruan ke angkasa rupa,
Mari diletak yaman baiduri;
Siang malam tiadalah lupa,
Menentukan kalimah dalam diri.


Mari diletak yaman baiduri;
Mari dibuat sangkar pergam,
Barangsiapa tentukan kalimah dalam diri,
Barulah sah martabat Islam.

Lalu dibuat sangkar pergam,
Tiada putus ia mengikat;
Apabila sah martabat Islam,
Barulah putus jalan makrifat.

Jikalau putus ia mengikat,
Orang Jawa belayar ke Bandan;
Jikalau putus jalan makrifat,
Bersatulah nyawa dengan badan.

Orang Jawa belayar ke Bandan,
Naik ke darat membeli padi;
Bersatulah nyawa dengan badan,
Barulah boleh berjumpa Nabi.

Tersebut kisah jalan suatu,
Jalan ucap hendaklah tentu;
Nyawa dan badan hendaklah bersatu,
Jalan wali demikian itu.

Sebenarnya ucap itulah jalan,
Menyatukan nyawa dengan badan;
Awal akhir hendaklah tentukan,
Naik dan turun jangan lupakan.

Dengarlah encik handai taulan,
Inilah amanat Wali Sembilan;
Syurga nyawa kepadanya badan,
Janganlah binasa sifatmu itu.

Kalau binasa sifatmu itu,
Kepada nabi tidak bertemu;
Awal akhir kalau tak tentu,
Sia-sia amalmu itu.

Nur Muhammad itu sudah terjali,
Hendaklah difikir di dalam hati;
Di dahi Abdullah ia berdiri,
Nur Mukminin nama diberi.



Asal Takbiratul Ihram disitulah jadi,
Terkala masa Firmannya nabi;
Di dahi Abdullah kenyataan terjadi,
Itulah ajal Hendak diketahui.

Sembahyang itu amal yang nyata,
Cucikan badan janganlah leka;
Terakala takbir janganlah bercita;
Zat tuhan semata-mata.

Sembahyang itu wujud nafsiah,
Kehendaknya nafas tuan tusutlah;
Tatakal megangkat lafaznya Allah,
Kepada Zat Tuhan kata berserah.

Asalnya sembahyang daripada maknikam,
Yang terbit daripada kalam;
Tatkala zahirnya daripada ibu dua kalam digenggam,
Itulah yang sebenar asalnya kalam.

Sembahyang itu awal pertama,
Tatkala berahsia Adam dan Hawa;
Sir Allah menjadi tiang agama,
Takbir mengikat badan dan nyawa.

Asal sembahyang daripada nikmat,
Tatkala berahsia Allah dan Muhammad;
Nafi sekelian tiadalah ingat,
Baitul Makmur tempat yang berhormat

Sembahyang terdiri di tiang kaabah,
Sir Allah membawa persembah;
Yang terjunjung di dahi Abdullah,
Itulah asal hendak disembah.

Apabila sudah nyata kita mengenal,
Baharulah sah kita beramal;
Seperti cahaya Jalal dan Kamal,
Rahsiakan dalam Allah akbar.

Diarjaini ‘indi min ‘amali,
Ertinya tiadalah ilmu itu dengan amalnya;
Amalnya sembahyang awal pertama,
Amalnya taraf yang keduanya,


Kalbu mukmin Baitullah,
Hati yang mukimin Istana Allah;
Yang tercacak di dahi Abdullah,
Ingatlah ...... janganlah salah.

Nur maknikam itu hendakalah dikenal,
Di situlah tempat keluarnya amal;
Kenyataan kepada Jalal dan Kamal,
Di situlah keluar lafaz Allahu Akbar.

Awwala khalafala Allahu Taala mizari,
Ertinya awal nur itu bakal dicari;
Kalau ada guru mengajari,
Di situlah tuan menyerah diri.

Sebab kita hendak bertarak,
Mengikut janji daripada bapak;
Jatuhnya kepada rahimnya emak,
Sembilan bulan lama bertarak.

Sembilan bulan sepuluh hari,
Di dalam rahim ibu dan bapak;
Di dalam khaluat uri tembuni,
Datanglah malaikat memberi janji

Janji yang awal tak boleh tidak,
Tetekala di dalam rahim ibu dan bapak;
Jikalau tuan hendakkan tampak,
Di dalam tarikat (tariq) tuan mengendap.

Di dalam tarikat bolehlah tentu,
Tetekala di dalam kandungan ibu;
Zat dan sifat barulah bersatu,
Kalimah yang dua baharu mengaku.

Kalimah rasul mengeluarkan sifat,
Kalimah tauhid mengeluarkan zat;
Dua kalimah sudah muafakat
Baharulah kita diaku umat.

Al Insaanu sirri waAna sirrahu,
Ertinya insan itu rahsianya Hu;
Asal itu hendaklah tahu,
Di dalam diri supaya tentu.


Insan itu cahayanya merah,
Yang terjumlah di dalam mata yang merah;
Mengenal dia janganlah salah,
Dialah yang mengandung benih naqttirah.

Insannya itu nyawanya ibu,
Laksana dian dengan sumbu;
Dialah mengandung niatnya itu,
Rahsia maknikam ialah itu,


Kuntu kanzan makhfiyan benda yang tersembunyi,
Di dalam diri hendaklah diketahui;
Itulah Baitullah di dalam diri,
Tiangnya tiga ada terdiri.

Bernama khian, mian, dian,
Dalam cahaya itulah burhan;
Itulah rahsia daripada tuhan,
Berahsiakan dia jangan bersalahan.

Berahsiakan dia hendaklah tentu,
Tetekala mengangkat takbirnya itu;
Sifat yang dua jadikan satu,
Barulah sah amalnya itu.

Itulah yang sebenarnya sifat maknikam,
Empat cahaya ada di dalam;
Itulah yang sebenar rahasia Hawa dan Adam,
Ialah melimpahkan sekelian alam.

Man ‘arafa nafsahu,
Faqad ‘arafa rabbahu;
Mengenal hendaklah tentu,
Di dalam maknikam tempatnya itu,

Maknikam itu bernama sir Allah,
Mengenal i janganlah salah;
Dalam cahaya nampak terjumlah,
Di situlah hakikat jangan berubah.

Dengan berkat Malik Al Jabbar,
Di dalam hati janganlah gusar;
Menilik dia jangan bertukar,
Seperti burung dalam sangkar.

Jikalau sungguh umatnya aku,
Tidak bertukar hakikatnya itu;
Di dalam batu hajar al aswad tempatnya tentu,
Intan maknikam di dalam itu.

Hakikat itu janganlah salah,
Sebelah kanan pintu kaabah;
Di situlah tempat rahsia Allah,
Rahsia Ali dengan Fatimah.


Keturunan Datuk Kayu Harang
Keturunan Martabat Tujuh
Keturunan Saidina Ali
Keturunan Wali Sembilan

Malam Selasa
26 Sya’ban 1389
Bersamaan
12 Jun 1950

Pendapat Anda Tentang Pantun ini

About Me

My photo
Ya Allah kurniakanlah aku makrifah padaMu, kerana jika aku tidak dapat makrifah padaMu aku tidak kenal UtusanMu, Ya Allah kurniakanlah aku makrifah (perkenalkan) kepada UtusanMu, kerana jika aku tidak dapat makrifah pada UtusanMu aku tidak kenal HujjahMu, Ya Allah kurniakanlah aku makrifah kepada HujjahMu kerana jika aku tidak dapat makrifah pada HujjahMu, akan tersesatlah aku dari agamaku